Monday, August 18, 2008

Ulat Tiket

Isu ulat tiket ini bukan isu baru, sejak saya mengenali industri ini mereka telah ada di stesen bas utama. Paling hebat adalah di Puduraya, Larkin di Johor dan Butterworth di P.Pinang.

Secara dasarnya, ulat ini merupakan promoter yang berkerja bagi pengusaha bas untuk meningkatkan jualan tiket. Mereka akan menghampiri pelanggan yang mencari tiket di stesen untuk menawarkan tiket syarikat bas yang mereka wakili.

Saya bahagikan ’Ulat Tiket’ ini kepada dua jenis. Jenis yang pertama kami panggil Ulat genuine. Mereka ini memang betul-betul mencari rezeki sebagai promoter kepada syarikat bas. Mereka mendapat komisen dari setiap tiket yang dijual. Mereka sering selari (synchronize) dengan jualan kaunter untuk mengelakkan pertindihan tiket. Mereka tidak menipu pelanggan dan jika kaunter menggunakan sistem, mereka akan membawa pelanggan untuk membeli tiket dikaunter. Mereka ini mencari rezki yang halal dan terdiri dari orang-orang kita juga.

Jenis yang kedua pula adalah Ulat Bermusim. Mereka ini hanya muncul ketika peak season seperti musim perayaan dan cuti sekolah. Semasa musim ini mereka menjual tiket secara tidak sah kepada pelanggan yang membeli di saat-saat akhir. Ada di antara mereka yang menipu pelanggan dengan membeli tiket dan menjual balik dengan harga berlipat kali ganda. Pelanggan yang terdesak membeli tiket tersebut. Apabila pelanggan yang membeli tadi membuat aduan kepada LPKP, pengusaha bas yang tidak tahu apa-apa dikenakan tindakan akibat onar yang dibuat ulat bermusim ini. Lebih teruk mereka menjual tiket untuk trip yang tidak wujud atau syarikat bas yang tidak wujud dengan menjual tiket palsu. Mereka ini yang mencemar imej ulat tiket.

Apa yang boleh kita buat?. Pertama pelanggan perlu di didik jangan sesekali membeli tiket di luar kaunter khasnya ulat. Telah banyak tahun di hebahkan dan telah banyak bunting diletakkan di stesen bas oleh LPKP dan autoriti tetapi masih ada lagi yang tertipu dek ulat ini.

Cara kedua seperti cadangan Pengarah LPKP Pn. Naimah Ramly agar semua ulat-ulat ini dan agen tiket didaftarkan dengan LPKP. Cara ini boleh membendung gejala ulat yang suka menipu.

Ada cadangan agar ulat tiket ini dinaiktaraf kepada agen berkomputer. Apa yang saya panggil sebagai e-ulat atau Ulat Pro. Mereka ini akan disukai pengusaha dan pelanggan dan ulat-ulat yang menipu dapat dihapuskan secara total. Kami sedang membangunkan alat jualan tiket bergerak (mobile hand-held ticketing devices) untuk e- ulat ini seperti yang digunakan kakikangan TNB untuk menyemak caj elektrik di rumah kita. Doalah agar usaha ini berjaya. Jangan hapuskan ulat, ubah mereka jadi penjual tiket profesional!.

No comments: